X
Menu
X

Antara Bisikan Pada Langit, Perjuangan Seorang Bapa dan Qurban.

Antara Bisikan Pada Langit, Perjuangan Seorang Bapa dan Qurban.

Sejujurnya, walaupun penulis belum bergelar sebagai seorang bapa, namun mempunyai adik perempuan yang berada di negeri orang, tetap mengundang risau dan resah. Apatah lagi jika berada di luar negara.

Itulah yang cuba digambarkan dalam filem arahan Tuan Kabir Bhatia, Bisikan Pada Langit. Mengisahkan seorang ayah (Jalil Hamid) dan anak kesayanganya Hajar (Umi Nazeera). Kasihnya melebihi anak-anak yang lain, sehinggakan sanggup menjual tanah demi anaknya itu.

Sebelum Hajar melanjutkan pelajaran ke bumi Australia, dia satu-satunya anak yang diajak melayan hobi kesukaan ayahnya, iaitu memancing.

Namun setelah mendapat tawaran ke luar negara, hati seorang ayah terasa berat untuk melepaskan setelah dijaga penuh kasih sayang bagaikan “Menatang minyak yang penuh”.Pujukan dan rayuan Hajar ditolak mentah-mentah, namun dibalas dengan nada yang lembut,

“Habis, kalau Hajar pergi belajar jauh-jauh tu, siapa nak teman ayah memancing?”Hajar hanya diam membisu.


Begitu juga pengorbanan Nabi Ibrahim yang menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan cahaya mata, tapi anaknya itu, Nabi Ismail diperintahkan Allah untuk disembelih pula.

Maka apabila anak itu sampai (pada umur mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab, “Wahai bapaku! Lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar!” (as-Saffat, 37:102).

Gambar sekadar hiasan

Akhirnya, sembelihan itu digantikan dengan seekor kibas, sebagai tanda Allah meredhai pengorbanan seorang ayah dan anak dalam memenuhi tuntutan iman.

Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail inilah merupakan titik tolak kepada pensyariatan ibadah qurban.


Iktibar daripada kedua-dua kisah ini, memperlihatkan pengorbanan seorang bapa dan kecintaannya kepada anak mereka. Kini, dek ekonomi yang tidak dapat diduga naik turunnya akibat pandemik Covid-19, memang berat cabaran bagi sebahagian ayah untuk memenuhi keperluan anak-anak serta isi keluarga yang harus dipikulnya.

Penulis adalah Eksekutif Muda Permasaran, Yayasan Ikram Malaysia.

Share