X
Menu
X

Variasi Itu Indah (12 Okt 2019)

Variasi Itu Indah (12 Okt 2019)

SG BULOH- Yayasan Ikram Malaysia dibawah Unit Keprihatinan Orang Kelainan Upaya dengan kerjasama Fakulti Perubatan UiTM julung-kalinya telah menganjurkan program asimilasi di antara kanak-kanak normal (disebut tipikal) dan kanak-kanak kelainan upaya. Program dengan tema Variasi Itu Indah telah diadakan di Fakulti Perubatan, UiTM Sg Buloh pada 12 Oktober 2019.

Seramai 48 orang kanak-kanak dan 30 orang ibu bapa turut serta menjayakan program tersebut. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak tidak kira kanak-kanak normal atau kelainan upaya untuk sama-sama berinteraksi, mengenali dan nemahami antara satu sama lain.

Ketua Unit Keprihatinan OKU Yayasan Ikram Malaysia, Dr Wan Najwa Wan Mohd Zohdi yang merupakan Pensyarah Perubatan Pemulihan di UiTM menekankan tentang perlunya ibubapa kepada anak-anak tipikal untuk memberi pengetahuan kepada anak-anak tentang wujudnya insan-insan berkelainan upaya supaya mereka lebih senang mendekati rakan mereka yang mempunyai kelainan upaya. Beliau turut mengutarakan bahawa peranan memperkasakan dan mecapai kelestarian warga kelainan upaya sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan yang membentuk polisi dan merancang peruntukan, institusi pendidikan iaitu sekolah dan kolej, majikan-majikan dan seterusnya masyarakat umumnya.

“Jadikan tekanan yang dihadapi sebagai kawan dan bukannya musuh,” kata Rajvin Kaur,34 iaitu salah seorang motivator yang mempunyai cerebral palsy sejak kecil.

Sepanjang program berjalan ibu bapa dan kanak-kanak diasingkan dalam dua aktiviti yang berbeza. Aktiviti bersama kanak-kanak dikendalikan oleh Pegawai Terapi Carakerja dari Gym Academy Child Development Center, Pn. Siti Aisyah Rozalli dan turut dibantu oleh sukarelawan fasilitator-fasilitator yang datang dari pelbagai latarbelakang antaranya guru-guru Program Pendidikan Khas Integrasi, jurupulih anggota, jurupulih carakerja, jururawat dan pelajar-pelajar perubatan UiTM.

Kanak-kanak melakukan aktiviti solat, bersenam, menari, menyanyi dan mewarna bersama-sama. Aktiviti yang dijalankan berjaya menarik minat kanak-kanak untuk turut serta.

 “Ibu bapa perlu menerima redha dengan cepat dan cari cara untuk membantu anak-anak kita. Satu harapan saya untuk anak-anak saya adalah supaya mereka dapat berdikari dan berpeluang menyumbang kepada masyarakat,” luah Pn Suriyati, ibu kepada kembar anak kelainan upaya.

Bagi Dr Siti Aishah Wan Mohd Hasni pula yang anak sulungnya di-diagnos dengan masalah autisme, “Belajar mensyukuri, berlapang dada dan merendahkan ekspektasi, sangat membantu agak kita sebagai ibubapa tidak merasa kecewa atau stress. Jangan pernah berputus asa pada anak kita.”

Kedua-dua mereka amat menekankan peri pentingnya untuk ibu bapa menyertai mana-mana kumpulan sokongan tidak kiralah NGO, NGi atau perkongsian melalui media sosial untuk mendapatkan pandangan dan belajar pengalaman mereka yang menghadapi situasi yang sama.

Pihak Yayasan IKRAM Malaysia menyeru agar pihak kerajaan serta seluruh warga masyarakat bersama-sama memainkan peranan agar kualiti hidup warga kelainan upaya dapat ditingkatkan.

Share